SELAMAT DATANG KE BLOG INI. SEMOGA ANDA TERHIBUR DENGAN PENULISAN SAYA INI.

19 August 2010

UJIAN TUHAN ( I V ) LAST - KALAU DAH TAKDIR

Malam itu, lama Fitri termenung atas katil. Matanya masih belum mahu lelap. Kejadian awal malam tadi benar-benar membengkakkan hatinya. Dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang dia rasa sekarang. Semua bercampur aduk. Sakit, kecewa, sedih. Kalau hendak diikutkan dari sejarah percintaan Fitri sebelum ini, apa yang terjadi kali ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan yang terjadi di kampus utara. Namun, entah kenapa kali ini bisa membuatkan dia lumpuh. Fizikal dan mental. Jasad dan roh. Realiti dan fantasi.


****************


Fitri masih lagi kaku memandang lelaki di hujung meja itu. Matanya tidak berkelip.

"Fitri, saya kenalkan tunang saya, Marzuki." Suara "Dia" memecah suasana awkward.

Marzuki menghulurkan tangan untuk berjabat. Fitri yang masih lagi kaku, sengaja melambat-lambatkan untuk berjabat.

[+] "Dia" dah tunang? Dengan lelaki ini?

Sambil menarik kerusi disebelah dia, Marzuki hanya tersenyum.

""Dia" selalu bercerita tentang kau. Katanya, kau merupakan kawan rapatnya. So, dia nak kenalkan aku dengan kau" Marzuki memulakan bicara, "Dia dan aku dah bersetuju nak kau jadi mengapit aku bulan 3 nanti. Itu pun kalau kau sudi la"

Fitri masih lagi diawangan.

[+] Pengapit? Kahwin?

Hampir-hampir pitam Fitri. Namun ditahan-tahan. Agar tak nampak sangat rasa sedihnya.

"Okeh" Jawap Fitri perlahan, "Nanti roger aku semula. Takut lupa. Aku nak kena gerak dulu. Housemate aku takde kunci rumah. Korang makan la eh. Assalamualaikum."

Sempat juga Fitri bersalaman dengan Marzuki sambil menjeling ke arah "Dia".

[+] Wahai sayang, mungkin ini kali terakhir kita bersua.


**************


Fitri masih lagi dalam keadaan percaya atau tidak, macam mana dia boleh bersetuju untuk menjadi pengapit kepada wanita yang selama ini dia sayang. Reaksi spontan dia tadi menghantui perasaan hingga ke tengah malam.

[+] Ah, bodoh la. Bodoh la.

Fitri menekupkan bantal ke muka. Dia mahu jerit puas-puas.

Malam itu, jeritan Fitri tenggelam dek lolongan anjing-anjing jalanan yang seolah-olah turut sedih dengan cerita Fitri.

28 July 2010

UJIAN TUHAN ( I I I ) - BUKAN PINTA-KU

Agak lama Fitri berada di tepi tasik. Nyamuk sudah pun kenyang menikmati darahnya. Udara dah sebati dengan paru-parunya. Kaki sudah pun terasa semut-semut akibat terlalu lama duduk di atas tanah. Namun bayang-bayang si "Dia" langsung tak kelihatan.

Dikeluarkan telefon bimbitnya dari poket kemeja dan dibukanya aplikasi mesej. Tak syak lagi yang Fitri sudah menunggu hampir sejam. Kalau yang ditunggunya ini cuma pelanggan atau kawan-kawan lelakinya, sudah lama dia tinggalkan. Tapi yang ditunggunya ini ialah "Dia". Tak boleh tidak, kena tunggu juga.

Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej masuk.

" Kita tunggu awak di Restoren Merdeka yang tepi tasik tu eh?"

Oh, kenapalah tak beritahu awal-awal tadi.

"Baik-lah!"

Fitri melangkah longlai sambil menampar-nampar punggung seluarnya yang dilekati rumput-rumput kering. Nampak macam susah sangat nak bangun. Barangkali boleh jadi bahan umpatan orang. Dengan susuk tubuh yang agak gempal, nampak kelakar jika dia berkelakuan sebegitu. Jadi, dia cuba bertindak seminima mungkin agak tiada yang perasan.

Dari jauh Fitri nampak "Dia" duduk di meja paling tepi restoren itu. Berada di atas pinggir tasik. Fitri sudah mula senyum meleret. Kalau hendak digambarkan perasaannya ketika itu, sungguh tak tergambar. Oh, mungkin ada sedikit. Gambaran kelopak-kelopak bunga ros perlahan-lahan jatuh dari langit. Macam romantik.

"Assalamualaikum," Sapa Fitri.

"Wa'alaikumsalam," Balas "Dia"

[+] Wah, aku belum sampai dia dah orderkan air kegemaran aku. Memang betul bakal bini mithali ni. He he he.

Fitri duduk dan terus menghirup air tembikai laici di atas meja. Terasa lega bila kerongkong yang kering tadi dibasahi air yang segar.

"Erh..." Muka "Dia" tiba-tiba berubah.

"Kenapa?" Tanya Fitri.

"Itu bukan air awak?" Jawap "Dia".

"Abis tu?"

Fitri dah mula rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Sungguhpun dia bukan seorang superhero yang mempunyai kuasa mengesan bahaya tetapi bila naluri lelakinya sudah berperasaan begitu, biasanya ianya betul.

"Assalamualaikum".

Suara lelaki dari belakang membuatkan Fitri rasa macam diserang strok. Menjawap pun tidak, menoleh pun tidak.

Kaku.

21 July 2010

UJIAN TUHAN ( I I ) - DIPERTEMUKAN ATAS PERKENAN-NYA

Keadaan di Taman Siswa sangat huru-hara. Kenderaan ibubapa pelajar di parkir sesuka hati. Lagipun dia siapa yang mahu melarang hatta jaga sekalipun kerana keadaan tidak terkawal. Masing-masing hanya mahu melepaskan bebanan masing.

Alhamdulillah, penempatan sementara disediakan oleh pihak Taman Siswa untuk pelajar sementara pihak kampus utara memikirkan alternatif lain. Keadaan ini melegakan ramai ibubapa yang rata-ratanya tidak dapat meluang satu malam lagi di sana. Ketibaan beberapa buah bas dan 2 buah trak askar memegunkan semua. Pengumuman yang kedengaran membingkas semua untuk menghimpunkan segala macam keperluan pelajar ke dalam trak askar yang tersedia. Nampaknya bantuan Allah untuk hamba-Nya yang ingin menuntut ilmu didatangkan dalam bentuk kenderaan besar ini untuk mengharungi banjir.

Dalam keadaan hura-hara begitu, semangat bantu-membantu adalah sangat diperlukan. Yang muda tolong yang tua. Yang kuat tolong yang lemah dan tidak dilupakan juga yang wanita dibantu lelaki. Fitri yang sedari tadi khusyuk memunggah barang miliknya, tidak menyedari kehadiran seorang gadis kecil molek disebelahnya. Gadis itu termangu-mangu. Masakan tidak, trak yang setinggi itu, bagaimana dia mahu mengangkut barangan yang sebeban dengan kudrat kerdilnya ini.

"Mari saya bantu." Ujar Fitri yang tersenyum-senyum gelihati melihatkan telatah gadis itu.

"Terima kasih." Gadis itu tersenyum kelat selepas menyedari gelagatnya diperhatikan.

"Awak pergi naik bas dulu. Biar saya angkut semua naik atas trak. Awak ingat semua beg awak?"

"Erm..." Jawap si gadis. Dengan memeluk sebuah bantal berbentuk hati dan menggalas beg sandang, dia terus menaiki bas.

"Kalau jadi awek aku, pergh... Mau bangga aku dengan orang kampung!" kata Fitri dalam hati sambil tersengih-sengih syok sendiri. Usai mengangkut beg ke dalam trak, Fitri lantas mendapatkan ibu bapanya dan mengucup dahi keduanya memohon restu agar hajatnya untuk meraih segulung ijazah tercapai. Juga impian minornya, meraih cinta seorang wanita yang sudi menerima cintanya.

Tapi itu cuma impian kecil. Tidak tercapai pun tidak mengapa, pujuk hatinya.

20 July 2010

UJIAN TUHAN ( I )

Fitri rasa, dalam sejarah pendaftaran mana-mana institut pengajian di Malaysia, belum pernah yang tertunda selama seminggu gara-gara banjir luar biasa. Dalam masa 2 hari, kawasan yang tidak di jangka akan berlaku banjir telah naik air. Maka oleh kerana kejadian alam yang luar biasa ini, ramai bakal pelajar kampus utara yang terkandas di banyak tempat di sekitar negeri utara. Ada sedikit di Jitra, ada sedikit di Arau, ada sedikit di Alor Setar dan tak kurang pula ada yang masih tersangkut di Lebuhraya PLUS antara Jitra dan Changlun.

Sedikit sebanyak, ini melunturkan minat bakal pelajar yang rata-ratanya berasal dari kawasan bandar. Meneruskan pengajian di kampus utara pun sudah menyebabkan mereka luntur minat, tambahan pula dengan kejadian yang luar biasa ini. Masing-masing buat muka "seposen" dek kerana letih menunggu. Tidak kurang pula yang mendengar radio untuk mendapatkan berita terkini tentang kejadian ini.

Fitri yang sangkut di Stesen Minyak Petronas lebih selesa membaca novel terbaru karya Ramlee Awang Murshid di dalam kereta sambil mendengar radio untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Ibu bapanya sedang berbual mesra dengan sekumpulan ibubapa bakal pelajar lain. Ada juga beberapa orang staf kampus utara di dalam kumpulan itu. Rancak bukan main mereka berbual walaupun berlain loghat percakapan yang menyebabkan ibu bapa Fitri yang berasal dari Johor kadang-kadang terpinga-pinga. Sesekali Fitri menjenguk persekitaran. Seakan ada pesta keramaian. Seramai-ramai manusia yang terkandas rupanya.

Terlihat juga beberapa lelaki yang berpakaian lengkap kemeja dan tali leher yang rasanya bakal pelajar juga jika dijuri dari segi pakaian. Berbual mesra seakan sudah kenal lama. Fitri yang bukan jenis peramah hanya meneruskan bacaannya.

"Berita terkini dari bilik berita Kedah FM. Dimaklumkan bahawa pendaftaran kampus utara bagi sesi kemasukkan Disember 2006 akan dibuka sepanjang minggu ini. Dimohon agar ibu bapa tidak tergesa-gesa untuk membuat pendaftaran pada hari ini. Untuk penginapan sementara, Taman Siswa yang terletak di Jitra akan dibuka sebagai pendaftaran sementara. Segala pengumuman terkini akan disampaikan melalui Kedah FM. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada....."

Pengumuman di radio ini sudah cukup untuk mendebarkan hati Fitri, malah ke semua bakal pelajar.

Beginilah ujian yang diuji Allah kepada hamba-Nya yang ingin menuntut ilmu. Adakah ujian ini akan melemahkan semangat semua bakal pelajar?

19 July 2010

PROLOG

Fitri masih lagi bersimpuh di tepi tasik. Matanya masih lagi tertancap pada sekumpulan anak muda yang leka gelak tawa. Bukan main senang betulhati mereka. Macam tiada masalah pula. Sesekali dia melihat jam. Jantung masih berdegup kencang bila menunggu kehadiran “si dia”. Dibacanya sekali lagi pesanan ringkas yang diterimanya semalam untuk memastikan lokasi dan masanya betul. Tak pernah sekali pun Fitri sampai lewat ke mana-mana janji temu sebelum ini. Baginya, ikhlas seseorang itu diukur daripada menepati waktu.

Dia yang masih lagi berpakaian pejabat, melonggarkan ikatan tali leher. Dilipatnya lengan baju agar nampak lebih santai. Fitri tak mahu jika ada yang menganggapnya hilang akal bila mana berpakaian pejabat di tepi tasik di waktu malam. Nampak macam orang ada mesyuarat di tepi.
Boleh mendatangkan gelak tawa orang nanti.
Kalau hendak dikenang-kenang, terlalu berliku kisah percintaan dia. Kalau dihimpunkan kisah semua ini sejak dia mengenal makna cinta sehingga melewati beberapa kisah sedih, boleh jadi epik percintaan terunggul barangkali.

“Kalau Kasyah terlalu unggul dengan cintanya terhadap Ayu, kalau Adam dapat menghargai cinta Nur Amina, kalau Shah Jehan sanggup bersusah payah menyemai cinta abadi terhadap Mumtaz Mahal, masakan aku tak sanggup berkorban untuk satu-satunya wanita yang dapat menerima cinta yang aku jaja selama ini”. Tiba-tiba hatinya berdetik.

“Andai kisah cinta aku ini dapat dikongsi oleh semua para lelaki agar mereka dapat menghargai wanita yang mencintainya” Kata Fitri di dalam hati, “Aku pasti bunga pun sanggup mengembang di waktu malam sebagai tanda penghormatan”.