SELAMAT DATANG KE BLOG INI. SEMOGA ANDA TERHIBUR DENGAN PENULISAN SAYA INI.

19 July 2010

PROLOG

Fitri masih lagi bersimpuh di tepi tasik. Matanya masih lagi tertancap pada sekumpulan anak muda yang leka gelak tawa. Bukan main senang betulhati mereka. Macam tiada masalah pula. Sesekali dia melihat jam. Jantung masih berdegup kencang bila menunggu kehadiran “si dia”. Dibacanya sekali lagi pesanan ringkas yang diterimanya semalam untuk memastikan lokasi dan masanya betul. Tak pernah sekali pun Fitri sampai lewat ke mana-mana janji temu sebelum ini. Baginya, ikhlas seseorang itu diukur daripada menepati waktu.

Dia yang masih lagi berpakaian pejabat, melonggarkan ikatan tali leher. Dilipatnya lengan baju agar nampak lebih santai. Fitri tak mahu jika ada yang menganggapnya hilang akal bila mana berpakaian pejabat di tepi tasik di waktu malam. Nampak macam orang ada mesyuarat di tepi.
Boleh mendatangkan gelak tawa orang nanti.
Kalau hendak dikenang-kenang, terlalu berliku kisah percintaan dia. Kalau dihimpunkan kisah semua ini sejak dia mengenal makna cinta sehingga melewati beberapa kisah sedih, boleh jadi epik percintaan terunggul barangkali.

“Kalau Kasyah terlalu unggul dengan cintanya terhadap Ayu, kalau Adam dapat menghargai cinta Nur Amina, kalau Shah Jehan sanggup bersusah payah menyemai cinta abadi terhadap Mumtaz Mahal, masakan aku tak sanggup berkorban untuk satu-satunya wanita yang dapat menerima cinta yang aku jaja selama ini”. Tiba-tiba hatinya berdetik.

“Andai kisah cinta aku ini dapat dikongsi oleh semua para lelaki agar mereka dapat menghargai wanita yang mencintainya” Kata Fitri di dalam hati, “Aku pasti bunga pun sanggup mengembang di waktu malam sebagai tanda penghormatan”.

No comments:

Post a Comment