SELAMAT DATANG KE BLOG INI. SEMOGA ANDA TERHIBUR DENGAN PENULISAN SAYA INI.

20 July 2010

UJIAN TUHAN ( I )

Fitri rasa, dalam sejarah pendaftaran mana-mana institut pengajian di Malaysia, belum pernah yang tertunda selama seminggu gara-gara banjir luar biasa. Dalam masa 2 hari, kawasan yang tidak di jangka akan berlaku banjir telah naik air. Maka oleh kerana kejadian alam yang luar biasa ini, ramai bakal pelajar kampus utara yang terkandas di banyak tempat di sekitar negeri utara. Ada sedikit di Jitra, ada sedikit di Arau, ada sedikit di Alor Setar dan tak kurang pula ada yang masih tersangkut di Lebuhraya PLUS antara Jitra dan Changlun.

Sedikit sebanyak, ini melunturkan minat bakal pelajar yang rata-ratanya berasal dari kawasan bandar. Meneruskan pengajian di kampus utara pun sudah menyebabkan mereka luntur minat, tambahan pula dengan kejadian yang luar biasa ini. Masing-masing buat muka "seposen" dek kerana letih menunggu. Tidak kurang pula yang mendengar radio untuk mendapatkan berita terkini tentang kejadian ini.

Fitri yang sangkut di Stesen Minyak Petronas lebih selesa membaca novel terbaru karya Ramlee Awang Murshid di dalam kereta sambil mendengar radio untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Ibu bapanya sedang berbual mesra dengan sekumpulan ibubapa bakal pelajar lain. Ada juga beberapa orang staf kampus utara di dalam kumpulan itu. Rancak bukan main mereka berbual walaupun berlain loghat percakapan yang menyebabkan ibu bapa Fitri yang berasal dari Johor kadang-kadang terpinga-pinga. Sesekali Fitri menjenguk persekitaran. Seakan ada pesta keramaian. Seramai-ramai manusia yang terkandas rupanya.

Terlihat juga beberapa lelaki yang berpakaian lengkap kemeja dan tali leher yang rasanya bakal pelajar juga jika dijuri dari segi pakaian. Berbual mesra seakan sudah kenal lama. Fitri yang bukan jenis peramah hanya meneruskan bacaannya.

"Berita terkini dari bilik berita Kedah FM. Dimaklumkan bahawa pendaftaran kampus utara bagi sesi kemasukkan Disember 2006 akan dibuka sepanjang minggu ini. Dimohon agar ibu bapa tidak tergesa-gesa untuk membuat pendaftaran pada hari ini. Untuk penginapan sementara, Taman Siswa yang terletak di Jitra akan dibuka sebagai pendaftaran sementara. Segala pengumuman terkini akan disampaikan melalui Kedah FM. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada....."

Pengumuman di radio ini sudah cukup untuk mendebarkan hati Fitri, malah ke semua bakal pelajar.

Beginilah ujian yang diuji Allah kepada hamba-Nya yang ingin menuntut ilmu. Adakah ujian ini akan melemahkan semangat semua bakal pelajar?

No comments:

Post a Comment